VLI # 2 Carta Ganjaran
Ada setengah golongan kritik yang konsep ganjaran ni tak bagus untuk anak-anak. Katanya, kalau bagi ganjaran atas sebab berkelakuan baik, dapat keputusan periksa yang baik, akan menjadikan kanak-kanak seorang yang "berkira". Kalau nak buat baik, atau nak belajar betul-betul, mesti ada ganjaran baru buat. Kalau tak diberi ganjaran, mereka jadi tak berminat atau tak ikhlas.
Ada benarnya dakwaan ni, tapi secara peribadi dan atas pengalaman sendiri, aku percaya yang kesan baik dan buruk konsep carta ganjaran ni berlaku atas cara perlaksanaannya. Kita boleh kawal kesannya dan dapatkan keputusan yang baik.

Pertama sekali, nawaitu. Niat dalam melaksanakan Carta Ganjaran. Bukan untuk anak-anak membandingkan diri antara satu sama lain. Tapi sebagai alat untuk mengajar apa yang baik, dan apa yang tidak baik. Bila anak-anak buat sesuatu yang baik, dia mungkin tak tahu yang "itu adalah baik". Tapi kalau dia buat sesuatu yang buruk, selalunya dia akan tahu (sebab mungkin kena marah, kena cubit, dapat sakit, dimalukan dan lain-lain).
Kedua, fokus kepada perbuatan yang baik, bukannya keputusan akhir (good behavior vs. result). Tekankan pada usaha buat kebaikkan, bukannya apa keputusannya. Kalau dia buat kerja sekolah dan mentelaah dengan baik, tapi keputusan periksa masih kurang memuaskan, jangan neutralkan usaha gigih dengan hanya memberi respon atas keputusan periksa sahaja.
Ketiga, kaitkan perbuatan dengan nilai-nilai yang nak diterapkan dalam diri. Contohnya, aku cuba terapkan nilai-nilai Iman, Jujur, Belas Ihsan, Adil dan Jujur. jadi bila aku nampak mana-mana perbuatan baik selari dengan nilai-nilai ni, aku akan bagi komen positif, dan masa bagi "bintang", aku terangkan perbuatan tu sesuai dengan nilai yang mana.
Antara contoh perbuatan baik yang selari dengan nilai-nilai yang cuba diterapkan;
- Iman ~ Belajar ngaji, senang/cepat bersiap untuk kelas KAFA, tak main masa solat, ikut pergi masjid/surau, kongsi makanan dengan kawan-kawan, tak bazir makanan dan lain-lain
- Jujur ~ Cakap benar, cari jawapan yang betul,buat kerja sekolah/rumah sebaiknya (tak cari "short cut"), ikhlas dalam menolong, jual dengan jujur dan lain-lain
- Belas Ihsan ~ Tolong hidang air, hidang makan, tak kedekut, berkongsi barang/makanan, jaga adik, berkhidmat pada ahli keluarga, sensitif dengan keadaan/perasaan semasa dan lain-lain
- Adil ~ Tak berat sebelah masa main, bahagi barang/makanan degan betul, tak berkira dalam bantu tugasan harian, ringan tulang, tak buang sampah rata-rata dan lain-lain
- Gigih ~ Tunjuk kreativiti, nampak bersungguh buat sesuatu, selesaikan masalah sendiri, tolong selesaikan masalah, cari maklumat dengan bersungguh-sungguh, belajar hafal doa dan lain-lain (Mizan belajar beralih pun aku bagi bintang).

Ganjaran pula tak semestinya bila dapat penuhkan kotak dengan bintang, boleh saja tetapkan sasaran beberapa bintang , kemudian belanja aiskrim, tak pun dengan bagi puji-pujian. Bawa main kat taman. Jadi kuda untuk anak naik, dan macam-macam lagi yang anak-anak suka.
Kadang-kadang aku cabar untuk semua anak-anak dapatkan penuh sebaris untuk aku belanja makan KFC, makan durian, bawa mandi sungai.Sekaligus ajar mereka untuk saling membantu untuk semua dapat bintang (kerja pasukan untuk "pow" bapak).
Pada aku, nampak perubahan sikap pada anak-anak. Awal-awal saja pakat tuntut bintang, bila dah dapat konsep Ikhlas, dah tak tuntut bintang.
Comments
Post a Comment